Thursday, 9 March 2017

Sedikit Pencerahan Mengenai SCAN...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. AlhamduLillah, bertemu kita kembali di ruangan maya ini, dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala jua hendaknya. Saya Hj Muhammad. Maafkan saya jika tidak dapat menulis dengan lebih kerap kerana kekangan masa yang kami hadapi di dalam menjalankan tugas dan amanat merawat di samping tanggungjawab harian sebagai manusia dan hambaNya.

Di sini saya ingin menyentuh mengenai satu perkara, satu persoalan dan permintaan yang sering muncul di kotak inbox Bentara Tujuh. Ramai di luar sana yang bertanyakan mengenai scan diri. Saya rasa perlu saya nyatakan di sini bahawa proses scan ini bukanlah semudah yang disangka. Saya menerima banyak permintaan untuk Puteri Nur scan atau imbas diri mereka kerana mereka ingin mengetahui sama ada mereka mempunyai pendamping atau tidak, ada yang ingin mengetahui asal-usul keturunan mereka dan sebagainya.

Sebelum saya teruskan dengan posting saya di pagi yang hening ini, ingin saya nyatakan bahawa Puteri Nur merawat secara profesional. Kami mempunyai standard operating procedures yang perlu kami ikuti untuk memudahkan proses perawatan dan pengurusan. Pesakit perlu memberikan maklumat-maklumat tertentu seperti nama-nama pesakit, ibubapa, lokasi, latarbelakang penyakit/gangguan dan sebagainya untuk dimasukkan di dalam borang maklumat pesakit. Kami juga merakam setiap sesi rawatan bagi tujuan rekod dan kajian semula setelah pulang dari lokasi rawatan. Saya juga perlu menyediakan laporan rawatan dan pengurusan. Laporan ini boleh diberikan kepada keluarga pesakit sebagai satu rekod rawatan yang dapat dirujuk di masa hadapan oleh anak cucu dan generasi seterusnya. Lafaz akad pemutusan perjanjian Jin-jin Saka disertakan dengan watikah yang boleh disimpan sebagai bukti oleh keluarga pesakit. Video perawatan yang telah diedit juga boleh diperolehi oleh pesakit di atas permintaan mereka. Kami tidak bergerak bersendirian, dan perawatan merupakan mata pencarian Puteri Nur. Beliau turut mempunyai ahli kumpulan dan penuntut yang turut sama ketika sesi rawatan. Kami bergerak ke lokasi pesakit. Kenderaan, minyak, tol, semuanya memerlukan kos. Oleh itu, kami terpaksa mengenakan bayaran bagi rawatan yang dijalankan.

Untuk makluman sahabat-sahabat pembaca sekalian, proses scan (imbas) ini sesuatu yang rumit. Ia bukanlah semudah membaca nama atau gambar dan segala maklumat akan terpancar dari situ. Apabila mengimbas seseorang atau sesuatu kejadian, Puteri Nur terpaksa membuka laluan dan masuk ke Alam Ghaib. Beliau akan dibawa ke zaman-zaman lampau yang membolehkan beliau melihat, mengalami dan merasai sesuatu peristiwa itu. Sebagai contoh, sekiranya maklumat yang diminta berkaitan dengan pembunuhan atau kesakitan, Puteri Nur akan melalui perkara yang serupa. Ianya bukan semudah yang disangka.

Ketika Alam Ghaib dibuka dengan izin dan kehendak Allah Subhanahu Wata'ala, segala makhluk Alam Ghaib akan tahu bahawa Puteri Nur sedang melihat mereka, dan mereka juga melihat Puteri Nur. Ini akan mendatangkan pelbagai reaksi daripada makhluk-makhluk yang terlibat. Sebagai contoh, jika yang diimbas adalah kumpulan Jin-jin Saka yang ingin bebas, mereka akan datang bertemu dengan Puteri Nur untuk meminta supaya dibebaskan dan diputuskan perjanjian antara mereka dan Manusia. Sebaliknya pula, jika kumpulan Jin-jin itu tidak ingin diketahui, mereka akan bertindakbalas dan cuba menyerang Puteri Nur! Dan jika tidak dapat menyerang Puteri Nur, mereka akan cuba menyerang sesiapa yang rapat dengan Puteri Nur. Di dalam kedua-dua senario, Puteri Nur terpaksa menguruskan makhluk-makhluk ini dan jika dilakukan dari jauh, pemutusan perjanjian tidak dapat disempurnakan tanpa kehadiran waris yang perlu melafazkan akad pemutusan di hadapan Puteri Nur. Makhluk-makhluk ini mungkin juga akan mengganggu mereka yang minta diimbas sekiranya pengurusan mereka tidak dilaksanakan dengan sempurna.

Seperkara lagi, scan jarak jauh ini boleh menimbulkan fitnah dan menyebarkan ghibah sekiranya nama yang di"scan" tanpa izin yang empunya badan atau nama yang diberikan bukan nama pemilik yang bertanya. Ini boleh membuka aib seseorang, dan membuka aib itu adalah satu dosa. Jadi, untuk mengelakkan fitnah begini, adalah lebih baik jika saudara saudari hubungi saya untuk menetapkan tarikh, tempat dan waktu untuk bertemu sendiri dengan Puteri Nur.

Puteri Nur bertindak lebih seperti Hakim di dalam menguruskan pembebasan, memutusan perjanjian, mematikan sihir dan urusan penempatan semula Makhluk-makhluk Allah yang beliau uruskan. Selain daripada itu, beliau turut bertindak selaku kaunselor di dalam menasihati dan membimbing pesakit dan keluarga mereka untuk menghadapi segala dugaan dan cubaan. Saya harap dengan penjelasan ini, para pembaca yang budiman dapat memahami konsep scan atau imbas ini.

Sekiranya anda perlukan rawatan, sila hubungi saya melalui email di


atau di laman sosial Facebook


InsyaAllah saya akan cuba membalas pertanyaan dan permintaan anda. Harap maklum bahawa Puteri Nur amat teliti di dalam memilih kes-kes untuk beliau uruskan, dengan izin Allah.

#bentaratujuh #puterinur #bunian #rajabunian #rawatanalternatif #rawatanputerinur #scan #imbas

No comments:

Post a Comment