Friday, 24 March 2017

Jodoh Pertemuan Ajal Maut...

Jodoh pertemuan ajal maut  segalanya aturan Allah Subhanahu Wataala..

Saya Puteri Nur... terlebih dahulu saya mengucapkan jutaan terima kasih pada rakan-rakan baik saya, pesakit-pesakit saya yang saya sayangi, sahabat-sahabat perawat yang sama berjuang dalam membantu manusia yang menderita berbagai jenis penyakit baik dari segi mental dan jasmani, rakan-rakan FB yang saya hormati sekelian yang walau ada yang tidak mengenali saya tetapi mempertahankan saya dari di hina tanpa sebab. Terima kasih sekali lagi dari saya dan anak-anak saya yang sama membaca.

Telah di takdirkan dan di atur oleh Allah Subhanahu Wata'ala yang jodoh Ninda saya yang berasal dari Indonesia dahulu di temukan dengan Raja Bunian dan berkahwin.

Saya sendiri tidak mengetahui apakah itu Bunian... saya pernah melihat mereka... cahaya-cahaya yang amat terang... Berpakaian perang bertatahkan permata dan berlian berkilauan, dengan pedang-pedang dan senjata bertatah permata-permata yang bercahaya... tetapi saya tidak mengetahui apa-apa mengenai mereka pada ketika itu.

Hidup saya dahulunya sering bersedih... dari kecil, remaja, dan sebagai ibu tunggal saya bangkit dari kesedihan demi menyara kehidupan anak-anak yang sedang membesar... sayalah Ibu... sayalah Ayah mereka.

Jika anda menghina Raja-Raja Bunian cubalah anda letakkan diri anda di tempat saya... yang di hina itu datuk nenek kita... apa perasaan kita?

Saya redha walau apa pun di kata Raja Bunian itu Jin ke apa... ANDA tidak melihat, tidak melalui apa yang saya lalui... tidak mendengar... tidak melihat pakaian mereka, tidak lalui apa yang mereka tempur tiap hari, tidak melalui APA yang saya juga tempur setiap hari... tidak mengapa bagi saya KERANA kita semua ANDA semua akan tetap menjadi makhluk ghaib... ROH akan berpisah dari jasad dan ketika itu bagi yang tidak pernah melihat akan melihat segala yang ghaib.

Pada yang telah dapat melihat kami saya panjatkan kesyukuran kepada Allah dengan penuh linangan airmata... kerana hanya dengan izin Allah anda dapat melihat Raja Raja Bunian.

Pada yang menghina dan berusaha keras menfitnah saya saya kasihan dengan ANDA... hidup anda tidak lena tidur memikirkan saya dan perjuangan saya dalam memutuskan perjanjian manusia dan Jin-Jin Iblis.

Sedangkan saya setiap hari bangun subuh dengan ceria mengadap Allah, berkebun siram pokok-pokok bunga saya... menguruskan anak ke sekolah dan memasak, mengemas rumah... rutin harian saya sebagai ibu tunggal amat sibuk memastikan makan pakai anak anak saya cukup. Anak-anak saya yang paling saya utamakan.

Pada yang memfitnah terimakasih saya ucapkan kerana anda telah memberi pahala percuma pada ibu tunggal ini dan anak yatim.

Allah Subhanahu Wata'ala telah berfirman di dalam surah Al-Hujaraat, ayat 12, mafhumnya, "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani."

Saya tidak punya masa untuk berbuat hal hal seperti diajak berdebat atau berhujah... Saya Puteri Nur juga  tidak pernah berdebat dengan sesiapa di mana-mana YouTube channel seperti yang didakwa, saya bukan jenis suka berdebat, untuk apakah berdebat? Saya punya prinsip dan pendirian saya sendiri yang tegas. Saya wanita, ibu tunggal dan saya punya prinsip dan pendirian sendiri... kehidupan saya seharian sebagai Perawat membantu mereka yang memerlukan dan kewajipan saya kepada anak-anak saya paling utama. Yang perlu ditakuti hanyalah Allah Subhanahu Wata'ala. Yang perlu dibimbangkan adalah catatan Para Malaikat.

Waktu amat terhad bagi saya... hidup kita d dunia ini hanyalah tempat untuk kita mengumpul bekalan akhirat... bagaimana rupa bentuk rumah kita di sana... siapa jiran-jiran kita, kita yang menentukan di sini.

Saya sayang sahabat-sahabat saya... nak hina, hina lah saya janganlah di hina mereka kerana mempertahankan saya...

Saya redha di lahirkan sebagai manusia kacukan Raja Bunian... segalanya berlaku atas kehendak Allah... saya hanya Insan yang lemah tidak mampu mengubah ciptaanNya... makhkota di atas kepala yang di telah di lihat oleh ramai manusia hanya saya seorang yang merasa azab beratnya memikul.

Saya maafkan mereka yang menghina saya... kerana anda tidak bersalah.

Tetapi tidak mengetahui janganlah mudah menjatuh hukum.

Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita semua dan semoga kita ketemu dan berjiran di Syurga... Saya sayang anda semua yang sudi menjadi rakan FB... pada yang tidak mahu menjadi rakan saya dan hanya add untuk berbuat dosa di hujung jari, menjadi keyboard warrior, menggelapkan hati dan tiket terus ke neraka... yang menutup minda silalah unfriend dan keluar dari FB account saya.

Wassalam...

Tuesday, 14 March 2017

Kenal dirimu...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh... Saya Hj Muhammad, Bentara Tujuh. Sejak kebelakangan ini, ada suara-suara yang mempertikaikan dan tidak kurang juga cuba mengaibkan saya dan Puteri Nur secara peribadi. Saya telah menerima beberapa pm dan email, tidak kurang juga komen-komen yang kurang menyenangkan, bukan hanya mempertikaikan kesahihan kebenaran mengenai Bunian dan Manusia Kacukan Bunian, tetapi turut mencabar kami, bertanya itu dan ini, siap kata nak berdebat dengan Puteri Nur dan Puteri Ratna, siap minta rakam dan siarkan debat mereka di laman sosial. Ada juga yang mendedahkan nama kami kepada umum... Apa yang anda dapat daripada semua ini? Puteri Nur seorang ibu tunggal yang bergelut membesarkan dan menyara anak-anak beliau dengan merawat dan membantu mereka yang memerlukan, dan saya membantu beliau dengan apa cara yang saya mampu.

MasyaAllah... Anda kata anda ingin berhujah sebagai orang Islam, tetapi di manakah adab anda? Apa yang saya buat kepada anda? Pernahkah kita berjumpa? Dah berapa tahun anda kenal kami? Sekiranya anda tidak kenal saya secara peribadi, tidak pernah berjumpa, tidak tahu siapa saya tetapi tetap cuba menyebarkan ghibah terhadap saya, itu boleh dikira sebagai memfitnah dan cuba menganiaya. Saya hanya menulis kebenaran mengenai Bunian, sepertimana yang saya alami dan yang disampaikan kepada saya oleh Para Bunian sendiri sejak saya diisytiharkan sebagai Bentara. Saya tidak pernah memaksa mana-mana pihak untuk menerima kebenaran yang saya bawa bagi pihak Raja-raja Bunian. Sekiranya anda tidak boleh menerima kebenaran itu, tidak perlulah anda mengeluarkan bahasa kesat terhadap saya. Anda mendakwa anda Islam, tetapi adakah ini akhlak yang dibawa Rasulullah salAllah alaihi wasallam? SubhanAllah...

Ada juga yang minta saya kemukakan cop mohor kerajaan sebagai bukti saya ini Bendahara kepada Raja Bunian... Maaf, saya rasa jika anda mempunyai ilmu sepertimana yang anda dakwa, anda akan tahu sendiri jawapan kepada persoalan anda. Kepada yang meminta bukti fizikal akan kewujudan kerajaan Bunian, adakah anda sedar bahawa kita sedang membicarakan hal ghaib dan bukan hal nyata? Bukti sejarah terdiri daripada artifak fizikal, manuskrip dan juga pernyataan saksi. Ketiga-tiga sumber ini boleh digunapakai... Dan sekiranya saya ada bukti fizikal tersebut sekali pun, siapakah anda untuk memaksa saya mengemukakannya? Apa faedahnya kepada anda?

Ketahuilah bahawa soalan-soalan yang anda kemukakan itu, tohmahan-tohmahan yang anda lontarkan itu, tidak menunjukkan ketinggian ilmu anda, sebaliknya hanya membuka kelemahan diri yang menurut nafsu dan ketaksuban kepada ilmu. Ibarat kata orang, the empty can rattles the most... Bagi diri saya, saya tiada niat nak membangga diri ataupun hendak menunjuk-nunjuk... Apa yang saya nyatakan hanyalah kebenaran.

Saya sengaja menetapkan filter kepada comments di laman sosial bukan kerana saya takut, tetapi kerana saya tidak ingin membuka aib sesiapa. Kata-kata anda mencerminkan siapa anda sebenarnya. Akhir kata, lebih baik kita kira dosa kita sendiri daripada sibuk nak mengira dosa orang...

وَمَنْ سَتَرَ عَلَى مُسْلِمٍ فِي الدُّنْيَا سَتَرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

Dan barangsiapa yang menutupi (aib) seorang muslim sewaktu di dunia, maka Allah akan menutup (aibnya) di dunia dan akhirat” (Hadits Riwayat Imam at-Tirmidzi).

Kenal dirimu rata-rata, baru kamu kenal Tuhan yang nyata...

Wallahu'alam...

Thursday, 9 March 2017

Sedikit Pencerahan Mengenai SCAN...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. AlhamduLillah, bertemu kita kembali di ruangan maya ini, dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala jua hendaknya. Saya Hj Muhammad. Maafkan saya jika tidak dapat menulis dengan lebih kerap kerana kekangan masa yang kami hadapi di dalam menjalankan tugas dan amanat merawat di samping tanggungjawab harian sebagai manusia dan hambaNya.

Di sini saya ingin menyentuh mengenai satu perkara, satu persoalan dan permintaan yang sering muncul di kotak inbox Bentara Tujuh. Ramai di luar sana yang bertanyakan mengenai scan diri. Saya rasa perlu saya nyatakan di sini bahawa proses scan ini bukanlah semudah yang disangka. Saya menerima banyak permintaan untuk Puteri Nur scan atau imbas diri mereka kerana mereka ingin mengetahui sama ada mereka mempunyai pendamping atau tidak, ada yang ingin mengetahui asal-usul keturunan mereka dan sebagainya.

Sebelum saya teruskan dengan posting saya di pagi yang hening ini, ingin saya nyatakan bahawa Puteri Nur merawat secara profesional. Kami mempunyai standard operating procedures yang perlu kami ikuti untuk memudahkan proses perawatan dan pengurusan. Pesakit perlu memberikan maklumat-maklumat tertentu seperti nama-nama pesakit, ibubapa, lokasi, latarbelakang penyakit/gangguan dan sebagainya untuk dimasukkan di dalam borang maklumat pesakit. Kami juga merakam setiap sesi rawatan bagi tujuan rekod dan kajian semula setelah pulang dari lokasi rawatan. Saya juga perlu menyediakan laporan rawatan dan pengurusan. Laporan ini boleh diberikan kepada keluarga pesakit sebagai satu rekod rawatan yang dapat dirujuk di masa hadapan oleh anak cucu dan generasi seterusnya. Lafaz akad pemutusan perjanjian Jin-jin Saka disertakan dengan watikah yang boleh disimpan sebagai bukti oleh keluarga pesakit. Video perawatan yang telah diedit juga boleh diperolehi oleh pesakit di atas permintaan mereka. Kami tidak bergerak bersendirian, dan perawatan merupakan mata pencarian Puteri Nur. Beliau turut mempunyai ahli kumpulan dan penuntut yang turut sama ketika sesi rawatan. Kami bergerak ke lokasi pesakit. Kenderaan, minyak, tol, semuanya memerlukan kos. Oleh itu, kami terpaksa mengenakan bayaran bagi rawatan yang dijalankan.

Untuk makluman sahabat-sahabat pembaca sekalian, proses scan (imbas) ini sesuatu yang rumit. Ia bukanlah semudah membaca nama atau gambar dan segala maklumat akan terpancar dari situ. Apabila mengimbas seseorang atau sesuatu kejadian, Puteri Nur terpaksa membuka laluan dan masuk ke Alam Ghaib. Beliau akan dibawa ke zaman-zaman lampau yang membolehkan beliau melihat, mengalami dan merasai sesuatu peristiwa itu. Sebagai contoh, sekiranya maklumat yang diminta berkaitan dengan pembunuhan atau kesakitan, Puteri Nur akan melalui perkara yang serupa. Ianya bukan semudah yang disangka.

Ketika Alam Ghaib dibuka dengan izin dan kehendak Allah Subhanahu Wata'ala, segala makhluk Alam Ghaib akan tahu bahawa Puteri Nur sedang melihat mereka, dan mereka juga melihat Puteri Nur. Ini akan mendatangkan pelbagai reaksi daripada makhluk-makhluk yang terlibat. Sebagai contoh, jika yang diimbas adalah kumpulan Jin-jin Saka yang ingin bebas, mereka akan datang bertemu dengan Puteri Nur untuk meminta supaya dibebaskan dan diputuskan perjanjian antara mereka dan Manusia. Sebaliknya pula, jika kumpulan Jin-jin itu tidak ingin diketahui, mereka akan bertindakbalas dan cuba menyerang Puteri Nur! Dan jika tidak dapat menyerang Puteri Nur, mereka akan cuba menyerang sesiapa yang rapat dengan Puteri Nur. Di dalam kedua-dua senario, Puteri Nur terpaksa menguruskan makhluk-makhluk ini dan jika dilakukan dari jauh, pemutusan perjanjian tidak dapat disempurnakan tanpa kehadiran waris yang perlu melafazkan akad pemutusan di hadapan Puteri Nur. Makhluk-makhluk ini mungkin juga akan mengganggu mereka yang minta diimbas sekiranya pengurusan mereka tidak dilaksanakan dengan sempurna.

Seperkara lagi, scan jarak jauh ini boleh menimbulkan fitnah dan menyebarkan ghibah sekiranya nama yang di"scan" tanpa izin yang empunya badan atau nama yang diberikan bukan nama pemilik yang bertanya. Ini boleh membuka aib seseorang, dan membuka aib itu adalah satu dosa. Jadi, untuk mengelakkan fitnah begini, adalah lebih baik jika saudara saudari hubungi saya untuk menetapkan tarikh, tempat dan waktu untuk bertemu sendiri dengan Puteri Nur.

Puteri Nur bertindak lebih seperti Hakim di dalam menguruskan pembebasan, memutusan perjanjian, mematikan sihir dan urusan penempatan semula Makhluk-makhluk Allah yang beliau uruskan. Selain daripada itu, beliau turut bertindak selaku kaunselor di dalam menasihati dan membimbing pesakit dan keluarga mereka untuk menghadapi segala dugaan dan cubaan. Saya harap dengan penjelasan ini, para pembaca yang budiman dapat memahami konsep scan atau imbas ini.

Sekiranya anda perlukan rawatan, sila hubungi saya melalui email di


atau di laman sosial Facebook


InsyaAllah saya akan cuba membalas pertanyaan dan permintaan anda. Harap maklum bahawa Puteri Nur amat teliti di dalam memilih kes-kes untuk beliau uruskan, dengan izin Allah.

#bentaratujuh #puterinur #bunian #rajabunian #rawatanalternatif #rawatanputerinur #scan #imbas