Friday, 29 January 2016

Kategori Jin dan Penyakit Yang Di Bawa

Jin merupakan salah satu makhluk ciptaan Allah subhanahu wata’ala yang telah dicipta lebih terdahulu daripada Manusia. Ayat Al-Quran menyatakan bahawa jin dijadikan daripada nyalaan api. Disebut di dalam ayat 27, surah Al-Hijr, 
“…dan kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas.” (Al-Hijr 15:27).
 Riwayat al- Baihaqi daripada Tsa’labah al-Khasyani, sabda Rasulullah salallah alaihi wasallam, 
“Jin itu terdiri atas tiga jenis bentuk, satu jenis (sepertiga) yang mempunyai sayap, mereka terbang di udara. Satu jenis lagi (sepertiga lainnya) berupa ular dan anjing. Sedang satu jenis lagi (atau sepertiga lainnya lagi) adalah jin yang menempati (suatu tempat) dan berjalan (seperti manusia)”.
Di dalam surah Al-Jin, ayat 6, 
“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.” 
Di sini, jelas menunjukkan bahawa manusia dilarang meminta bantuan daripada golongan jin. Jin-jin ini, apabila diambil untuk sesuatu tujuan, boleh mendatangkan kesakitan kepada manusia yang didampingi. 
Di dalam surah Shad, ayat 41 dinyatakan bahawa, 
“Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami: Nabi Ayub ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata, ‘Sesungguhnya aku diganggu oleh Syaitan dengan (hasutannya semasa aku ditimpa) kesusahan dan azab seksa (penyakit)’.” 
Daripada ayat ini, ulama tafsir menyimpulkan bahawa kebanyakan penyakit adalah dibawa oleh jin dan iblis.

Jin Harimau
Akan menyebabkan sakit kepala dan migraine yang serius dan kronik sehingga boleh menyebabkan ketumbuhan di kepala atau otak. Telinga kerap berdesing dan mendengar bunyi-bunyi dalam hutan. Doktor sering mengklasifikasikannya sebagai “vertigo”. Jin jenis ini juga akan menyebabkan mereka yang didampingi menjadi panas baran, tidur malam sering terganggu, mendengar bunyi mencakar di dinding, bunyi mendengus, dan sebagainya. Selain daripada itu, mereka yang didampingi jin harimau juga sering mengalami penyakit kulit.

Jin Pendekar
Boleh menyebabkan mereka yang didampingi menjadi panas baran, tidak dapat mengawal emosi dan banyak mendengar suara di dalam kepala. Mereka mudah merasuk, atau dikenali juga dengan istilah “naik sheikh”. Dari segi fizikal, mereka yang didampingi jin pendekar sering mengalami tapak tangan berpeluh, sakit belakang dan sakit kepala dan fikiran terganggu, seperti tidak boleh berhenti berfikir. Mereka juga akan cenderung untuk mempelajari ilmu persilatan.

Jin Kebayan
Paling banyak diambil. Terdapat pelbagai watak dalam sifat jin kebayan. Kebayan pertama, mereka bersifat “drama queen”. Mereka gemar menimbulkan drama. Hari ini mungkin bersifat tenang, penyayang dan dalam sekelip mata mereka akan beremosi, menangis dan dipanggil “meroyan”. Kebayan pertama dalam kategori ini tidak sukakan kebersihan. Mereka tidak suka orang menyentuh barang-barang mereka, mengemas, mencuci. Mereka suka mengumpul dan menyimpan barang-barang lama. Mulut mereka agak jahat, suka memfitnah, suka mengata, berhasad dengki. Mereka seperti hidup di dalam khayalan, benda yang tiada mereka ada-adakan. Kebayan jenis ini, jika berada di dalam jasad, ini yang menyebabkan pesakit akan terlantar pada suatu masa, membuang najis di atas katil dan tidak mahu mandi. Kebayan pertama juga selalu bersangkut dengan langsuir. Mereka sendiri ketawa seperti mengilai dan ketawa agak kuat. Kebayan kedua bersifat pendiam, pemalu, takut hendak keluar rumah, hendak keluar menyidai kain pun rasa diperhatikan. Mereka suka menyendiri dan suka mendengar lagu-lagu lama. Kumpulan kebayan kedua ini banyak diambil untuk ilmu tarian dahulu kala dan juga pelaris kecantikan. Kebayan ketiga ada yang mengambil bentuk Pontianak. Mereka adalah kacukan jin dan iblis. Banyak digunakan untuk ilmu sihir. Jin kebayan ini mendatangkan sakit belakang (scoliosis – kecacatan tulang belakang), peha berat, kaki berat, sering bongkok, merasakan diri terlalu tua, tidak suka berhias diri, sukar untuk solat. Di sini saya maklumkan juga jin kebayan adalah yang paling jahat (evil), amat bijak berlakon. Mereka jugalah yang sering menyamar sebagai Bunian, berpakaian putih, berlagak warak sedangkan hakikatnya kebanyakan jin kebayan adalah jin-jin kafir.

Jin Ular
Memberi kesan kepada kawasan ear, nose and throat (ENT) atau daerah kepala dan saluran pernafasan. Pesakit sering menghidap resdung, asthma (lelah), masalah respirasi, tidak tahan cuaca sejuk dan kerap ingin tidur serta merasa berat kepala. Jin-jin ular juga boleh mengakibatkan kesakitan pada bahagian usus. Selain itu, pada wanita, jin-jin ular boleh menganggu sistem peranakan dan rahim, sering merasa bahu dicuit-cuit, merasa ada pergerakan di dalam urat-urat, ada getaran. Pesakit merasakan bahawa penglihatan matanya agak kabur, gelap, membawa kepada penyakit katarak yang boleh mengakibatkan buta, telinga merasa bengkak, mendengar suara-suara. Ada kala tidak boleh duduk diam dan berkata sesuatu yang tiada asasnya. Dalam perawatan, berdasarkan kes-kes yang telah dihadapi, apabila dibacakan Rukyah atau Manzil, pesakit akan tidur seperti tiada apa-apa. Tetapi saya, Puteri Nur, saya melihat jauh ke dalam dan saya dapat mencari lokasi di mana jin-jin ular itu menetap di dalam tubuh. Kebanyakan jin ular diambil untuk ilmu tarian seperti ulek mayang dan juga susuk kecantikan dan sihir, kerana zaman dahulu kala di mana penari-penari Istana akan dikerah oleh Sultan-sultan untuk menari, membuat persembahan. Disebabkan kesakitan di zaman dahulu kala, kezaliman yang berlaku, seramai-ramainya manusia mengambil jin untuk meminta bantuan dari segi tenaga dan kekuatan. Agak sedih untuk difikirkan apa yang berlaku dahulu kala, dan sehingga kini juga, masih berlaku. Dengan nama Allah subhanahu wata’ala, saya melihat segala yang berlaku. Terdapat banyak kategori jin ular. Puteri-puteri Jin Ular Laut yang dikenali sebagai Nyi Blorong, Nyi Roro Kidul. Jin Ular Sungai, Jin Ular Gunung, dan pelbagai lagi.

Jin Kera
Diambil dahulu kala untuk menjaga buah-buahan dan dusun agar buah tidak rosak. Dahulu kala tiada baja dan racun seperti zaman sekarang. Manusia hidup dalam kesusahan, kepayahan. Bergantung hidup dengan menjual buah-buahan dan bercucuk-tanam untuk kelangsungan hidup. Di sinilah apabila kesusahan melanda dan ilmu agama agak kurang, manusia akan berpaling meminta bantuan kepada yang lain. Akibat dari jin kera ini, pewaris yang mewarisi akan sering mengalami sakit perut. Jika mereka memasuki rumah, rumah akan sentiasa berbau sampah walaupun tiada sampah. Merasa rumah gelap, kotor, walaupun rumah sudah dicuci. Seisi rumah sering mengalami cirit-birit, perut sering buncit, akan bersifat penakut dan suka menangis dengan tiba-tiba dan juga bersifat sensitif. Jin kera juga mendatangkan penyakit kulit yang teruk, gatal-gatal, berkudis yang tidak sembuh, eczema, psoriasis, asthma, sering sedu, kaki sakit. Bagi pewaris lelaki, perut buncit yang dikenali sebagai “beer belly”. Mereka agak nakal dari segi suka bergurau-senda dengan wanita dan menipu. Keluarga dan saudara-mara sering bergaduh, tidak boleh bersua muka, saling membenci. Sebagaimana sifat kera di alam haiwan. Di sini pegangan agama memainkan peranan penting. Solat lima waktu harus dijaga, begitu juga amalan solat-solat sunat yang lain.

Cukup setakat ini untuk hari ini. InsyaAllah akan saya sambungkan lagi kategori jin-jin dalam status update yang akan datang. Terdapat ratusan kategori jin dan ratusan ribu spesies jin, sebagaimana dinyatakan dalam Al-Quran, ayat 15 surah Nuh,

“Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat.” Dari huraian tafsir Al-Quran, terdapatnya pelbagai makhluk di setiap tujuh petala langit dan tujuh petala bumi. SubhanAllah. Allah itu Maha Pencipta, Al-Khaliq. Allahuakbar.

“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa; Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” 
(Al-Baqarah, ayat 2-3)















No comments:

Post a Comment