Sunday, 17 March 2013

The Bunian: Beings of Light

Assalamualaikum, I have a small update, especially for readers who are not native speakers of Bahasa Melayu. Bunian: Beings of Light is a blog dedicated to the Bunian just like this one, but in English. It is being updated by a dear friend from Down Under. Please browse this blog for current information on the Bunian.

Note: Most of the material in this blog has been obtained from Nukilan Bentara Tujuh, translated into English.

Perbualan Terakhir Dengan Puteri Sari

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, syukur alhamduLillah, blog Nukilan Bentara Tujuh telah mencapai 10,000 views sejak blog ini mula ditulis. SubhanAllah, semakin ramai yang telah mengetahui mengenai Kebenaran mengenai Para Bunian.

Di sini saya ingin menyampaikan satu lagi link kepada youtube yang memaparkan perbualan terakhir bersama Puteri Sari. Di dalam video ini, beliau menjelaskan persoalan-persoalan yang sering bermain di fikiran manusia. Perbualan ini turut dipaparkan di dalam 3 bahagian di dalam laman Facebook Bentara Tujuh.

Sila subscribe ke channel Bentara Tujuh di youtube untuk mendapatkan video-video terkini dari kami. Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


<Sila klik gambar di atas untuk mendengar perbualan tersebut di youtube>

Saturday, 9 March 2013

Tiada Bank Di Alam Bunian!

Assalamualaikum, di sini ingin saya nyatakan dengan jelas bahawa Puteri Sari, Raja segala Raja-raja Bunian yang berusia 2500 tahun, telah bersuara dengan tegas dan murka, TIDAK ADA BANK ALAM BUNIAN!!! TIDAK ADA BANK DI ALAM JIN!!! TIDAK ADA PEMBERIAN HARTA BUNIAN, GELIGA BUNIAN, SENJATA BUNIAN, BARANG-BARANG MISTIK BUNIAN. Puteri Sari bersuara lagi, untuk apa Bunian memberikan harta kepada manusia? Dan kenapa Bunian harus memberi harta kepada manusia? Alam Bunian di Kayangan. Pinggan mangkuk dari emas, batu-batu sungai dari emas, batu permata. Segalanya adalah tipu daya jin untuk menyesatkan manusia dan membawa ke arak SYIRIK. Meminta harta sedangkan segala rezeki HARUS datangnya dari Allah subhanahu wat'ala dengan usaha manusia sendiri. Di sini manusia harus berfikir dengan akal, kata Puteri Sari lagi, manusia darjat mulia. Kenapa harus ada bank di Alam Bunian? Untuk apakah wang itu? Membeli televisyen? Membeli mesin jahit? Alam kami adalah yang paling sakti dan paling ajaib. Hanya menanti kelahiran manusia kacukan Bunian untuk kami bersuara. Pinggan mangkuk kami dari emas. Pernahkah manusia meminjam pinggan mangkuk dari emas? Kami dikatakan berpakaian putih, berbaju kurung. Kenapa perlu kami memakai pakaian manusia padahal kami bukan manusia? Kami ada pakaian kami sendiri. Mengapa pula matawang yang kononnya dari Alam Bunian sama dengan matawang alam manusia? Panglima Berlima, jin Islam yang turut bersuara mengatakan mereka juga boleh berbuat begitu. Mengambil wang dari tempat-tempat perjudian dan mengubah sedikit supaya kelihatan kononnya seperti dari Alam Bunian atau Alam Jin. Jin yang memperdaya manusia itu berdosa dan apatah lagi manusia yang menarik duit itu, terpedaya dengan kebodohan mereka sendiri! Yang tertawa di sini adalah iblis dan jin-jin kafir yang berjaya memperdayakan manusia. Mereka memandang rendah manusia kerana kepada mereka manusia dijadikan dari tanah. Manusia tidak melihat mereka. Bukankah ketika Adam dan Hawa di ciptakan Allah telah memerintahkan seluruh makhluk untuk sujud dan iblis telah mempersoalkan kenapa harus sujud kepada Adam yang di ciptakan dari tanah yang di kutip dan di pijak-pijak. Peristiwa ini telah dinyatakan dalam surah Al-Israa', ayat 62, “Dia berkata lagi: Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya)”. Saya akan memasukkan rakaman suara perbualan ini dalam facebook dan blog.

Bagi mereka yang melayari blog, rakaman suara tersebut boleh didengarkan di youtube, video bertajuk "Kebenaran mengenai harta Bunian" di channel Bentara Tujuh.

<Sila klik gambar di atas untuk mendengar perbualan ini di youtube>

Monday, 4 March 2013

Pakaian sebenar Raja-raja Bunian

SubhanAllah, beginilah pakaian Raja-raja Bunian yang sebenar. Ini adalah Putera Aria, suami kepada Puteri Sari, nenda Puteri Nur. Seperti yang pernah saya jelaskan, nama-nama mereka yang sebenar perlu saya rahsiakan demi keselamatan Puteri Nur. Putera Aria merupakan Raja Bunian yang menguruskan jemaah Bunian ke Mekah. Dia juga bertempur dengan iblis dan jin kafir yang ingkar dan ingin menyesatkan manusia.

Para Bunian tidak berpakaian putih semata-mata. Mereka hanya memakai pakain putih ketika solat. Bunian berpakaian putih, baju kurung, jubah butih itu adalah lakonan jin-jin yang hendak menyesatkan manusia. Di sini juga digambarkan mahkota Bunian yang tumbuh dari kepala ibarat tanduk rusa.

Firman Allah dalam surah As-Sajadah, ayat 4-6, "Allah yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara kedua-duanya dalam enam masa, kemudian Dia (Allah) bersemayam (menetapkan pentadbiran-Nya) di atas 'Arash. Tidak ada bagi kamu selain Dia (Allah) seorang penolong pun dan tidak seorang pemberi syafa'at. Maka apakah kamu tidak mengambil peringatan? Dia (Allah) mengatur urusan dari langit kepada bumi, kemudian (urusan) itu naik kepada-Nya (kepada Allah) dalam satu hari yang kadarnya adalah seribu tahun menurut perhitungan kamu. Demikianlah (Allah) yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, al-‘Aziz (Maha Perkasa), lagi al-Rahim (Maha Mengasihani)."

Update Facebook terakhir... Kebenaran mengenai satu-satunya Manusia kacukan Bunian, HYBRID.

Dengan nama Allah Al-Khaaliq, Al-Hakiim, Al-'Aliim... Akaun facebook ini di buat atas pemintaan Puteri Nur dan nenda-nendanya BUNIAN yang dapat bersuara melaluinya... Dengan perintah Allah Para Bunian hanya akan dibenarkan bersuara apabila lahirnya satu-satunya manusia kacukan Bunian... Telah ribuan tahun perkahwinan antara manusia dan Para Bunian berlaku tetapi semuanya manusia biasa atau bunian terus... Hari demi hari saya melihat kesakitan yang dilalui oleh Puteri Nur... Perubahan drastik telah berlaku dari manusia ke bunian... Nendanya Puteri Sari apabila muncul akan menangis, bukan mudah menjadi HYBRID... Cahaya matahari amat menyakitkan hingga ke tulang-tulang. Deria hijab terbuka penuh... Hijab dibuka disini bermaksud segala suara-suara dalam otak dan fikiran manusia; haiwan, burung-burung juga bezikir, pokok-pokok berzikir juga dapat didengarnya, melihat masa lampau masa depan juga, makhluk-makhluk ciptaan Allah yg lain sering muncul - ada jin-jin, ada roh-roh yang datang meminta bantuan... Sayapnya amat berat... perit bagai terkoyak... di pinggang tulang tersembul... tulang belakang terperosok akibat pertumbuhan sayap... Sayapnya tidak dapat dilihat dengan mata kasar saya, tetapi kesan pertumbuhannya dapat diperhatikan pada tulangnya belakangnya. Puteri Nur telah memberi kebenaran kepada saya untuk melukisnya. Para Bunian sendiri tidak menyangka yang manusia kacukan Bunian akan ditumbuhi sayap... beberapa bulan yang lalu ketika sayap mula keluar tidak begitu menyakitkan... Puteri Sari nenda Puteri Nur telah bersuara meminta seorang Ustaz dan saya sendiri membacakan surah As Sajadah pada air untuk dimandikan... Bunian juga membaca pada air mandian itu dan kini sayap Puteri Nur sudah matang menandakan keberangkatan sudah hampir...

Panglima jin-jin Islam berlima yang ada saya ceritakan d dalam blog saya satu, satu muncul menangis... kerana perpisahan sudah hampir. Manusia pula ramai yang nak sangat jadi Bunian... berlagak keturunan Bunian untuk apa? Tidakkah manusia sepatutnya bersyukur menjadi manusia biasa sepenuhnya? Sedangkan Puteri Nur sendiri satu-satunya HYBRID amat benar ingin sepenuhnya manusia... Puteri Nur sering keluar masuk hospital dari kecil hingga dewasa. Pelbagai analisis gastroskopi, endoskopi, x-ray, MRI telah dijalankan dan macam-macam kesimpulan yang para doktor cadangkan, namun rawatan yang diberi tidak memberi kesan. Doktor juga pelik kenapa Puteri Nur tidak boleh makan kerana dia tidak menghidap anorexia. Puteri Nur tidak boleh makan di kedai. Bunian tulus, dari cahaya... Bukan sekadar bahan-bahan masakan, tetapi jika tukang masak itu hatinya tidak bersih, Puteri Nur tidak boleh menjamah masakannya. Dia sudah tidak boleh bergaul dengan manusia di khalayak ramai kerana dia boleh mendengar segala fikiran mereka, dan hanya dengan menyentuh manusia, dia akan dapat melihat segala sejarah manusia itu. Pernah juga ayahnya membawa Puteri Nur berjumpa bomoh ketika itu Puteri Nur sudah terbaring sakit, tetapi Puteri Nur hanya meminta semangkuk air diletakkan di sisinya. Ibunya sendiri membencinya kerana dia sering sakit, mengatakan dia gila kerana takutkan matahari, gilakan bunga. Sekarang baru dia mengerti mengapa ibunya membencinya kerana nendanya Puteri Sari memberitahu bahawa dia sepatutnya menjadi 'forgotten child' kerana ketika 6 bulan di dalam kandungan, sepatutnya dia telah diambil oleh Para Bunian. Tapi subhanAllah, dia mempunyai cahaya Bunian dan berjasad. Ketika itu, Raja-raja Bunian seluruh dunia telah dipanggil untuk bermesyuarat. Manusia kacukan Bunian telah tiba. Puteri Nur juga menghidap asthma dan migrain yang teruk sehingga tahap kritikal menghidap penyakit jantung. Ketika itu doktor juga hairan kenapa di usia yang masih muda, dia telah mempunyai masalah jantung. Bertahun-tahun bergantung kepada ubat-ubatan sehinggalah Puteri Sari muncul dan menyuruh saya menyediakan bunga melur, mawar dan cempaka untuk Puteri Nur. Penyakit asthmanya terus hilang selepas menghidu bunga-bunya tersebut. Dia sering migrain, kadangkala amat sakit sehingga tak mampu bangun. Rupa-rupanya ia adalah kesan daripada pertumbuhan mahkotanya. Seperti yang telah saya jelaskan, mahkota Bunian tidak boleh ditanggalkan, sebaliknya ia tumbuh ibarat tanduk rusa.

Sudah setahun saya menjadi Bentara dan Penjaga Puteri Nur, setiap hari ada sahaja dugaan, cabaran dan perkembangan baru yang dilaluinya. Puteri Nur perlukan bunga segar setiap hari - mawar, melur, cempaka, juga buah-buahan segar. Dia tidak boleh makan daging, hanya sayur-sayuran dan ulam-ulaman. Ada kalanya dia teringin hendak merasa ayam atau daging. Saya berasa kasihan, serba salah hendak menunaikan permintaannya. Apabila dia makan daging, dia akan sakit perut dan muntah, kemudian terlantar. Puteri Nur juga memerlukan jus buah-buahan setiap hari. Emosi Puteri Nur juga berubah-ubah. Ada masanya dia ceria, ada masanya dia murung. Perubahan-perubahannya bukan sahaja secara fizikal malah emosional, dan ini amat menyedihkan saya kerana saya kenal Puteri Nur sebelum ini, dan dia sudah tidak boleh menjalani kehidupan seperti manusia biasa. Mungkin ada yang berkata,"Redha sahajalah, itu ketetapan Allah," tetapi anda tidak melalui apa yang saya lalui. Bukannya tidak bersyukur, tetapi sebagai manusia biasa cuba bayangkan kakak anda sendiri sakit, dan anda tidak mampu berbuat apa-apa, hanya sekadar melihat dan membantu apa yang terdaya. Bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Namun begitu, didalam kesakitan dan keperitan yang dialaminya, Puteri Nur tetap menjalankan amanah merawat dan membantu manusia. Saya sedih apabila ada yang beria-ia mengatakan bahawa dia keturunan Bunian, ingin jadi Bunian dan ingin masuk ke Alam Bunian... Mereka tidak tahu keperitan, dugaan dan cabaran yang dihadapi oleh satu-satunya manusia kacukan Bunian - Puteri Nur.

Kebenaran tentang Bunian telah saya sampaikan atas permintaan mereka dan pulangnya Puteri Nur ke Alam Zara saya sendiri tidak mengetahui adakah beliau akan di kembalikan semula kerana Puteri Nur sudah tidak boleh berada d alam manusia biasa... Di Darussyifa kebenaran ini telah di sampaikan dan Puteri Sari yang berusia 2500 tahun telah berpesan pada Ustaz-ustaz di sana bahawa Bunian tidak pernah dan tidak akan bersuara lagi selepas pulangnya Puteri Nur ke Alam Zara... Ustaz-ustaz di sana mengerti dan menghormati Puteri Sari. Menurut Puteri Sari, kuasa sakti Alam Bunian dan Alam Jin yang digabung dengan Manusia kacukan Bunian mampu menyembuhkan mereka yang lumpuh, buta, pekak dan bisu. Namun begitu, keprihatian nendanya menyentuh perasaan saya kerana menurut Puteri Sari lagi, dia mahu Puteri Nur hidup normal. Bayangkan jika dia mampu mengubati penyakit lumpuh, buta, pekak, bisu dan sebagainya dalam sekelip mata, dia akan dikejar manusia seluruh dunia. Ibarat David Copperfield, kata Panglima Utama, panglima jin Islam yang berkata. Jika sayapnya pula dapat dilihat dengan mata kasar, sudah tentu Puteri Nur menjadi bahan ujikaji saintifik pula. Tidak mustahil akan ada pula kelompok manusia yang akan menyembahnya dan menganggapnya Tuhan atau Goddess. Semua ini telah dilihat oleh Para Bunian, dan sebab itulah Puteri Sari menutup banyak kuasa-kuasa yang dianugerahkan kepada Puteri Nur.

Jika saya sudah tidak lagi membalas atau update status di fb ini bemakna Puteri Nur telah pulang ke Alam Zara dan tidak ada lagi hubungan suara-suara Para Bunian dan jin-jin Islam yang bersuara di hadapan saya. Ini adalah satu-satunya peluang bagi manusia dan Bunian untuk berkomunikasi. Ini merupakan saat yang amat menyedihkan kepada saya kerana mereka sudah menjadi rapat, ibarat kita akan mengucapkan selamat tinggal kepada saudara-mara kita. Kepada yang masih tidak mengerti, saya sebenarnya dapat berkomunikasi dengan Para Bunian dan kaum Jin Islam yang menjaga Puteri Nur secara langsung. Apa yang saya catatkan di sini mahupun di dalam blog adalah daripada sumber pertama, bukan didengar dari pihak lain atau dibaca di internet. Saya berkomunikasi secara langsung dengan mereka setiap hari melalui Puteri Nur. Pengalaman bersama mereka akan sentiasa dihargai dan semoga segala catatan saya di dalam talian ini akan menjadi rujukan dan kebenaran mengenai Bunian untuk tatapan generasi akan datang. Janganlah ada lagi salah faham mengenai Para Bunian dan juga Jin Islam yang turut dianiaya oleh iblis dan jin kafir. Ini adalah catatan Facebook saya yang terakhir, insyaAllah jika Puteri Nur dipulangkan ke alam manusia, dia akan membuka pusat rawatan untuk meneruskan usaha merawat dan membantu manusia. Saya akan terus update blog Nukilan Bentara Tujuh dari masa ke semasa.

Firman Allah dalam surah Ad Dhuha: "Demi waktu dhuha. Dan malam apabila ia sunyi-sepi. (Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik). Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya. Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda - berpuas hati. Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan? Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu - Al-Quran)? Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan? Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya. Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik. Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya."

Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.